ULASAN ARTIKEL; GHAFAR BABA

(Bab 3: Jejak-jejak Seorang Pemimpin)

Abdul Ghafar Bin Baba atau lebih dikenali sebagai Ghafar Baba merupakan antara tokoh paling dikagumi dan disanjungi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Beliau dilahirkan pada tanggal 18 Febrauri 1925 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Menjadi anak yatim ketika menginjak usia 8 tahun dan pernah mengerah keringat sebagai budak caddy, pemungut bola tenis, dan penjual kayu api sebelum mengecap kejayaan di dalam senario politik Malaysia menjadikan beliau sebagai seorang tokoh yang terkenal dengan gelaran “self-made man”. Beliau adalah seorang tokoh yang memanjat tangga kejayaan bermula dari anak tangga yang paling bawah.
Perjalanan karier politik Ghafar bermula seawal tahun 1945 apabila beliau bergiat secara aktif dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ketika masih menjadi pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris). Demi menghantar wang perbelanjaan kepada isterinya, beliau secara tertutup telah menjalankan perniagaan kecil seperti menjual buku. Selain dilantik menjadi ketua pelajar, beliau turut pernah menganjurkan tunjuk-tunjuk perasaan demi menentang penjajah British dalam kalangan pelajar-pelajar MPSI. Beliau kemudian menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1951. Perjuangan untuk memerdekakan tanah air dari cengkaman penjajah merupakan tujuan awal pembabitan beliau dalam parti politik. Kemiskinan yang telah dialami sendiri oleh Ghafar dan keluarga telah mengajar beliau supaya berjuang demi meningkatkan taraf ekonomi, disamping juga situasi masyarakat Melayu secara amnya yang jelas amat miskin dibawah pemerintahan penjajah British.
Memiliki keperibadian yang cukup istimewa dimana beliau kurang menyenangi sebarang bentuk penghormatan yang tinggi-tinggi, tidak suka berpura-pura atau berlagak tetapi lebih senang dengan sikap seperti orang biasa menjadikan beliau antara tokoh yang disenangi rakyat. Buktinya, beliau tidak tinggal di kediaman rasmi ketika menjadi Ketua Menteri Melaka dengan alasan memudahkan rakyat untuk menemuinya. Kekuatan dan sokongan padu dari rakyat inilah yang menjadikan beliau antara tokoh UMNO yang satu-satunya pernah menjadi menteri selama 23 tahun.
Penglibatan Ghafar dalam politik UMNO jelas melalui banyak episod yang menarik. Beliau sendiri tidak pernah menduga keterlibatan beliau akhirnya membawa satu rekod dimana beliau merupakan penyandang jawatan paling lama dalam parti UMNO. 25 tahun sebagai Naib Presiden UMNO kemudian menjadi Timbalan Presiden UMNO setelah mengalahkan Musa Hitam, nyata beliau tidak naik secara mendadak. Istimewanya, beliau hanya akan bertanding sebarang jawatan dalam parti sekiranya dicalonkan oleh ahli-ahli parti selain sukar mendengar khabar beliau merayu-rayu pencalonan dari ahli parti. Unsur melobi jelas bukan stail beliau. Malah, beliau tidak pernah walau sekali pun tidak turut serta dalam mana-mana Persidangan Agung UMNO. Jelaslah, Ghafar adalah seorang ahli parti yang memiliki imej yang cukup baik.
Gaya atau stail Ghafar berpolitik dikatakan mirip kepada sikapnya yang dianggap sebagai cauvinis Melayu. Ini dapat dimanifestasikan menerusi sumbangan idea-idea pembangunan beliau seperti mencadangkan penubuhan Institut Teknologi Mara (ITM) dan pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB). ITM dibuka bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar bumiputera untuk mendapatkan pelbagai latihan dan kemahiran profesional disamping mendapatkan latihan akademik. Selain itu, MARA juga telah memberikan berbagai kemudahan lain demi membantu peniaga-peniaga kecil Bumiputera. Skim Amanah Saham MARA dilancarkan bagi menggalak dan memperkenalkan orang-orang Melayu kepada dunia perniagaan dan saham. Rentetan dari kejayaan skim inilah kemudian menjadi inspirasi kerajaan untuk menubuhkan Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Penglibatan Ghafar sememangnya banyak dalam usaha membantu Tun Razak untuk menubuhkan berbagai pertubuhan. Antaranya ialah Pertubuhan Peladang dan Koperasi Nelayan, Perbadanan Kemajuan Perikanan, Perbadanan Kemajuan Haiwan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Perbadanan Niaga Nasional (PERNAS) dan juga penubuhan Bank Pertanian (kini Agro Bank). Sumbangan yang lebih ketara ialah penubuhan Komplek Kewangan Malaysia Berhad (KKMB). Ini bagi menggalakkan golongan berpendapatan rendah supaya menceburkan diri dalam industri securities. Sewaktu menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, beliau telah meneruskan rancangan-rancangan membasmi buta huruf dalam kalangan rakyat luar bandar, menangani masalah pembukaan tanah dan memulihkan tanah terbiar serta masalah perumahan yang dihadapi oleh orang-orang Melayu. Kewujudan Kelas Dewasa dibawah kelolaan  KEMAS di seluruh pelusuk tanah air,pengkajian semula Group Settlement Act, Skim Tabung Perumahan dan sistem operasi Lembaga Urusan dan Tabung Haji merupakan antara penyelesaian diambil beliau ketika itu.
Sumbangan beliau bukan hanya dalam tertumpu pada sektor ekonomi, politik dan pentadbiran negara. Beliau turut banyak menghabiskan masa dan tenaga demi memberi dan menabur jasa bakti kepada kegiatan badan-badan kebajikan bukan sahaja diperingkat negeri dan kebangsaan malahan di peringkat antarabangsa. Bukan hanya memiliki kecergasan dalam politik dan perniagaan, beliau turut tidak ketinggalan dalam arena sukan. Beliau menjadi nama pertama dalam lipatan sejarah pembinaan padang golf yang terbaik di Melaka. Kemudian dilantik menjadi Presiden Air Keroh Country Club.
Abdul Ghafar bin Baba bukan seorang yang begitu optimis, tetapi tidak juga terlalu pesimis. Beliau meletakkan kepercayaan bahawa beliau tidak mempunyai musuh dan tidak ada konflik peribadi dengan mana-mana pihak. Sahsiah dan personaliti Ghafar sememangnya sepadan dengan pengutaraan dirinya yang dapat dilihat daripada tindak tanduk politik atau ucapan-ucapan politik beliau. Jika kelurusan dan kejujuran kadangkala dikatakan tidak wujud dalam kamus politik, ini jelas kerana seseorang itu tidak pandai membuat perhitungan politik dan tidak peka kepada keadaan sekeliling. Tetapi ahli politik yang menunjukkan kelurusan dan kejujuran akan terus dihormati, bukan hanya di mata masyarakat, kawan mahu pun lawan.
RUJUKAN

Mohd Taib Osman, Alias Mohamed. (1993) Ghafar Baba: Kupasan oleh profesor dan cendekiawan Melayu. Gateway Publishing House.

No comments:

Post a Comment